Friday, December 31, 2010

Tiada 'gula-gula' dijual di Terengganu?

Jangan terkejut kalau anda membaca tajuk saya kali ini.
Memang sukar untuk anda percaya tapi itulah hakikatnya yang anda
perlu terima bila berkunjung ke Terengganu. Kesian pada anak-anak anda
kalau ingin membeli gula-gula hehehehee...

Tapi anda jangan risau pulak. Sebenarnya 'gula-gula' berlambak
boleh didapati di kedai-kedai di sini cuma malangnya penduduk tempatan
tidak memanggilnya 'gula-gula' sebaliknya memanggilnya 'coklat'.
Kalau anda ke kedai runcit dan ingin membeli gula-gula pasti
si penjual akan tergamam beberapa saat sebelum memberikannya
kepada anda sebab otaknya terpaksa mengambil sedikit masa
untuk memproses makna gula-gula tersebut dan menukarkannya
kepada coklat hahahaa...

Orait.. settle bahagian gula-gula. Sekarang apahal pula kalau
gula-gula tadi berperisa coklat? Nak panggil apa? hahahahahaa...
jangan risau, kat sini orang memanggilnya coklat koko.
Tengok tu panggilan coklat tetap tidak berubah untuk gula-gula.
Ok, kalau gula-gula berperisa mentos? Kita orang memanggilnya
coklat berangin. Kalau Hacks?... coklat hacks!

Oh ya sebelum lupa. Di Terengganu ada satu lagi jenis
gula-gula tradisional. Gula-gula ini rasanya manis dan ada diletakkan
kacang di dalamnya. Orang tempatan memanggilnya coklat nnisang.
Nnisang tu mungkin singkatan dari manisan kot sebab sejak dari kecil
sampai sekarang itulah yang orang panggil. Kalau anda ingin membeli
gula-gula ini pergilah ke pasar seperti Pasar Kedai Payang
atau Pasar Chabang Tiga. Di kedai runcit sangat susah
untuk anda temui gula-gula ini.

Nah harap anda sudah mula faham sikit-sikit pasal percakapan
orang Terengganu. Jumpa lagi di lain masa, insyaAllah...

Thursday, December 30, 2010

Nama yang membawa tuah!

Apa ada pada nama...? Itulah ungkapan yang sering kita dengar.
Tapi ada kalanya kita tidak boleh menafikan adakalanya nama boleh membawa tuah.
Kenapa saya berkata demikian? Nanti anda akan faham bila saya ceritakan kisah ini.

Semasa saya balik dari Kuala Lumpur baru-baru ini saya singgah
sebentar ke Kuala Kemaman. Tentu anda sudah membaca topik ini.
Selepas sahaja saya serta keluarga bersembahyang di masjid yang baru
di situ kami sekeluarga singgah ke satu kedai makan yang menjual satar,
otak-otak dan juga masakan kampung dan masakan panas.
Nama kedai itu ialah Aziz Satar. Cukup ramai orang yang makan di kedai ini.
Sebelah kedai ini sebenarnya ada satu lagi kedai makan tetapi tidak ada orang pula.
Tapi tak apalah mungkin rezeki masing-masing.


Sambil menunggu makanan sampai saya sempat merayau dalam kedai dan
mengambil gambar untuk dijadikan bahan cerita ini. Dan saya mula berfikir
kenapa kedai ini mempunya daya tarikan. Walhalnya disepanjang jalan
di sini terdapat ramai lagi pengusaha yang menjalankan produk yang sama.
Dan saya membuat satu kesimpulan bahwa tuanpunya kedai makan ini
begitu bijak menggunakan strategi perniagaan. Strategi ini dinamakan
strategi 'menumpang' dalam ilmu pengiklanan. Apakah strategi beliau...?



Kebetulan namanya Aziz. Beliau pula berniaga satar, otak-otak
dan lain-lainnya... nak dijadikan cerita di Malaysia ni ada
seorang pelakun 'filim' veteran namanya Pak Aziz Satar. Satar pada nama
Pak Aziz ni adalah nama bapanya manakala satar pada En. Aziz tuan punya kedai ini
pula ialah sejenis makanan tradisional berasaskan hasil laut.
Ditakdirkan nama En. Aziz ni bukannya Aziz sebaliknya Omar
atau Embong ataupun Saad. Rasanya kemungkinan besar nasib beliau
mungkin berbeza. Ataupun beliau mengekalkan nama Aziz tapi
di belakangnya diletakkan Otak-otak... jadi namanya Kedai Makan Aziz Otak-otak.
Saya rasa nasibnya kemungkinan besar tidak sama seperti sekarang.
Tetapi walaubagaimana pun ini hanyalah telahan saya semata-mata
sebab itu semua adalah kuasa Allah jua yang mampu meletakkan
di mana kedudukan seseorang di dunia ini.

Berbalik kepada kedai makan beliau, dari pengalaman yang kami
sekeluarga lalui dengan memakan satar dan otak-otak di sini ialah rasanya
sedap serta pedas. Sebenarnya saya pernah memakan satar yang lebih sedap
dari ini tapi ini dikira sudah melepasi piawai hehehehe.. Dan saya tengok
ramai orang yang singgah di sini termasuklah pelancong yang boleh dikenali melalui
bas pelancong serta plet kereta dari luar Terengganu.
Ini sudah kira bagus bagi pengusaha makanan tradisional.
Mungkin selepas ini beliau boleh memperbaiki lagi mutu perkhidmatan
agar lebih cekap dan pekerjanya memakai uniform
supaya senang bagi pelanggan mengenalpasti siapa
pekerja di sini dengan lebih pantas.

Wednesday, December 29, 2010

Keropok Losong

Sebut sahaja 'Keropok Losong' pasti membuatkan semua orang akan
teringatkan Terengganu. Ia sudah serasi dan menjadi satu ikon
bagi negeri Terengganu. Bahkan kalau anda ke Kelantan atau Pahang
atau mungkin juga ke negeri-negri lain di seluruh Malaysia tidak mustahil
anda akan berjumpa dengan gerai bernama 'Keropok Losong'. Samada keropok tersebut
memang berasal dari Losong atau tidak bukanlah menjadi satu masalah.
Bila sahaja namanya Losong sudah cukup untuk menjadi daya penarik
bagi memikat orang membeli keropok di gerai berkenaan.


Kalau anda melancong ke Terengganu, berkunjung ke sini
bagaikan satu kemestian sebagaimana Pasar Kedai Payang. Terdapat
deretan kedai keropok sepanjang jalan di sini. Kalau musim cuti boleh
dikatakan semua kedai dipenuhi pelanggan. Bahkan jangan terkejut kalau
ada kedai yang sudah mengikat perjanjian dengan pemandu bas pelancong
yang akan membawa penumpang bas ke kedai tertentu bagi mendapatkan
keropok lekor. Bagi orang tempatan keropok lekor juga dikenali
sebagai 'keropok getel'ataupun 'keropok gondel'.



Sebenarnya untuk mendapatkan keropok yang sedap tidaklah
semestinya di Losong sahaja. Boleh dikatakan merata ceruk di negeri ini
ada orang menjual keropok lekor dan juga keropok keping di negeri Terengganu ini.
Bahkan di sesetengah tempat, ada keropok yang lebih sedap dari yang
dihasilkan di Losong. Cuma masalahnya ialah anda mungkin terpaksa
pergi ke pinggir bandar seperti Bukit Tok Beng, Seberang Takir,
Mengabang Telipot, Mengabang Lekor, Kuala Kemaman
ataupun lain-lain tempat terutamanya di sepanjang pantai
barulah anda boleh membelinya.


Kenapa keropok Terengganu menjadi pilihan ramai? Sebab utamanya ialah
keropok di sini lebih banyak kandungan ikannya berbanding di tempat-tempat lain
yang banyak sagu. Kalau anda berkunjung ke sini anda boleh melihat sendiri
bagaimana keropok dihasilkan. Dan anda boleh membawanya pulang
dalam keadaan panas-panas lagi.



Sebenarnya ramai penggemar keropok terutamanya dari luar Terengganu
kurang suka makan keropok rebus. Mereka lebih sukakan keropok goreng.
Mungkin kerana mereka tidak biasa.. menjadikan mereka agak takut-takut untuk
menikmatinya. Aarrgghhh.. ruginya kerana tidak menikmati keunikannya
yang tersendiri.. Apapun harap anda suka dengan penerangan yang diberikan.
Jangan lupa untuk membeli banyak-banyak bagi dibawa pulang sebagai ole-ole
kalau anda berkunjung ke negeri Terengganu.

Sunday, December 26, 2010

Kuala Kemaman

Terlalu jarang sebenarnya saya singgah ke Kuala Kemaman.
Kebetulan bila balik dari KL baru-baru ini terasa nak 'singgah sekejap'
kerana ada pengunjung yang menyuruh saya buat satu cerita mengenai daerah ini.
Salah satu faktor sebab jarang ke sini ialah kerana kesuntukan masa ataupun
terlajak kerana terpaksa masuk jalan ke pantai
sebaik menghampiri Masjid Geliga.


Sebaik sahaja tiba di hujung perkampungan saya dapat membuat kesimpulan
bahawa sejak puluhan tahun yang lampau 'terlalu sedikit' kemajuan yang
dapat dilihat di sini. Yang nampak ada perubahan ialah masjid baru dan jeti nelayan..
itu sahaja. Kenapa tiada pemangunan yang pesat di sini tidaklah dapat
saya menjawabnya. Kalau diikutkan Terengganu sudah mempunyai
dua orang menteri besar yang berasal dari daerah Kemaman.

Kepada peminat fotografi pula bolehlah merakam perkampungan
nelayan di sini kerana bangunan yang ada masih lagi wujud buat masa sekarang
mungkin inilah masa yang sesuai untuk anda merakamnya sebelum
ianya menjadi bahan sejarah sebagaimana bangunan di bandar Marang
suatu ketika dahulu.

Pasar yang menjual hasil laut yang segar

Mungkin ini salah satu cara bagi mendisiplinkan pengguna tandas di sini

Bermain dam adalah aktiviti masa lapang bagi para nelayan
bagi mengisi masa lapang. Dan kalau anda menginginkan tangkapan
yang segar dari laut silalah ke pasar ini. Di sepanjang laluan ke sini anda
akan dapati banyak gerai jualan berasaskan hasil laut seperti keropok, satar
dan juga otak-otak. Untuk pengetahuan anda Kuala Kemaman dan Geliga
adalah tempat jualan satar dan otak-otak yang masyur sebagaimana
Losong terkenal kerana keropoknya.

Jadi kalau anda berkebetulan lalu melalui jalan besar di hadapan
Masjid Geliga, jangan lupa untuk singgah sebentar ke Kuala Kemaman
untuk membeli ole-ole hasil laut ataupun menikmati
satar dan juga otak-otak.

Thursday, December 23, 2010

Aktiviti di Seberang Marang

Sekiranya anda dalam perjalanan balik ke destinasi anda melalui
bandar Marang jangan lupa untuk singah sekejap di seberang Marang.
Di sini pemandangannya juga indah dan boleh melihat Pulau Kapas dengan jelas
dari sini. Kalau kebetulan hari cuti atau nelayan tidak kelaut biasanya anda
akan dapat melihat aktiviti membaiki pukat atau
membaiki bot dilakukan di sini.





Cubalah meminta izin mereka untuk merakam gambar sebagai
kenang-kenangan kunjungan anda ke sini. Tidak rugi untuk merakam sejenak
kehidupan mereka dan dari situ barulah kita tahu di mana kehidupan kita.
Jika sebeum ini kita merasakan kehidupan kita begitu susah mungkin
selepas ini kita akan lebih bersyukur terhadap nikmat
yang kita kecapi selama ini.

Wednesday, December 22, 2010

Hebahan | Galeri Songket

Tidak berapa lama lagi satu tarikan baru bakal muncul di negeri Terengganu
atau lebih tepat lagi di Kuala Terengganu. Ia merupakan sebuah galeri songket
yang 'berkemungkian besarnya' akan dinamakan mengambil sempena
nama Tuanku Nur Zahirah sebagaimana yang diumumkan oleh
YAB Menteri Besar sewaktu ucapannya
di Malam Gala Seri Iman 2010 baru-baru ini.

Galeri ini boleh dikunjungi melalui jalan darat dan juga sungai.
Sekiranya anda ingin melalui jalan darat anda perlu mengambil jalan
ke kanan menghala ke arah Buluh Gading sebaik sahaja melepasi Jambatan Manir.
Kalau ikut sungai pula anda boleh naik dari pengkalan bot penambang
di Shahbandar di depan Bazar Warisan ataupun mengikut
pakej menyusuri sungai yang dikendalikan oleh Taman Tamadun Islam.


Apabila siap kelak galeri ini insyaAllah akan mengandungi segala
informasi mengenai songket, pameran, demonstrasi dan sebagainya
yang bersangkutan dengan songket. Apapun kita tunggu sahaja masanya pasti
akan tiba nanti bila ianya dibuka kepada umum kelak. Sudah pasti saya akan cuba menceritakannya secara bergambar di sini kelak, isyaAllah...

Tuesday, December 21, 2010

Kisah orang Terengganu cakap Key Yel

Adapun cerita ini hanyalah rekaan semata-mata.
Tetapi tidak mustahil ianya berlaku hehehehehe...

Alkisah maka tersebutlah kisah dua orang teman lama terserempak di Jalan Tuanku Abdul Rahman.. lebih spesifik lagi depan Sogo. Seorang bernama Mamat manakala seorang lagi bernama Ibrahim. Kebetulan masing-masing datang berpasangan, yang seorangnya dari JB manakala seorang lagi dari Melaka. Jadi untuk menjaga martabat masing-masing supaya nampak macam orang Key Yel (KL) mereka berduapun berborak dalam slang KL demi menjaga standard. Maklumlah selama ini mereka tak pernah bercakap Terengganu depan pasangan masing-masing.

Mamat: Hey.. Him apa khabar? ko buat buat apa sekaran?
Ibrahim: Aku Alhamdulillah sihat. Sekaran ni aku masih dekat tempat lama.. kerja kilan kat Ulu kelan. Eh famili ko masih tinggal kat Duriang Burun lagi ker?
Mamat: A..Aaaa.. famili aku masih kat sana. Tak lama lagi munking pindah kak kuban parit. Sebat ayah aku dah buat rumah baru kat sinun.
Ibrahim: Oo gitu.. lama aku tak jumpa famili ko ni. Kalau jumpa ayah ko.. kata aku kiring salan.
Mamat: InsyaAllah.. Him.. berubah benar ko sekaran ya.. Dulu seingat aku kalau jumpa ko ni selalu jer aku berasa nak plenkon muka ko dengan centon tau?
Ibrahim: hahahahaa.. kisah lama Mat. Tak payahlah sebut-sebut lagi. Dulupun aku.. aku slalu juga bayankan kalu jumpa ko ni.. eeee rasa nak jirik-jirik muka ko tau hahahahaaaa...

Kedua-dua pasangan masing-masing terkedu.. tak faham sepatah haram apa yang mereka bualkan walhal dengar macam cakap Key Yel....

Mungkin anda juga ada yang tak faham.. takper lama-lama anda akan faham...

Monday, December 20, 2010

Kenali buah-buahan tempatan | Smetter

Slot ini sebenarnya lebih kepada memperkenalkan buah-buahan tempatan
mengikut panggilan orang Terengganu. Tidaklah bermaksud buah ini tidak ada
di negeri lain cuma bila anda tahu apa panggilan buah-buahan ini di sini lebih
senang untuk anda berkomunikasi.




Ok.. kita mulakan dengan buah pilihan pertama iaitu Manggis.
Buah ini biasanya ada bersekali dengan buah durian kerana
musimnya boleh katakan sama. Mengikut panggilan tempatan buah ini
dipanggil buah 'smetter'. Jadi kalau anda berada di pasar malam
dan mendengar orang menjerit-jerit
"Buah smetter.. derah..derah.. Rm2.00 skilo... RM2.00 skilooo..
cepat! cepat sebelum kehabisang!" maknanya mereka
sedang menjual buah manggislah tu.. hehehehe....

Sunday, December 19, 2010

Jeti bot penambang kini berwajah baru

Setelah beberapa kali mengalami perubahan demi perubahan kini jeti penambang
sekali lagi berwajah baru. Nampaknya kali ini perubahan yang dilakukan
lebih menyerlah dan nampak lebih cantik kerana pihak MBKT telah menambak tanah
di sebelah sungai supaya lebih banyak ruang bagi aktiviti riadah dan santai
dapat dilakukan sementara menunggu ketibaan bot penambang.

Sebenarnya jeti ini telah turun temurun digunakan sebagai tempat berlabuh
bot-bot yang membawa penumpang dari Seberang Takir, Seberang Bukit Tumbuh
dan juga Pulau Duyong ke bandar. Sebelum siap Jambatan Sultan Mahmud dahulu
lokasi ini adalah antara 'port' paling sibuk bagi kakitangan kerajaan dan swasta
yang ingin pergi dan balik dari bekerja.



Inilah jeti sementera yang digunakan sementara
menunggu jeti baru siap sepenuhnya.


Kalau anda ingin menikmati pengalaman menaiki bot penambang
bolehlah singgah ke sini yang mana lokasinya bersebelahan dengan
Pasar Kedai Payang dan betul-betul terletak dihadapan Bazar Warisan.
Saya syorkan kalau anda datang sekeluarga dalam jumlah yang ramai
cubalah sewa bot penambang di sini dan harganya kalau tidak silap dalam
lingkungan RM30 atau RM35 sejam. Anda boleh pergi menyusuri
Sungai Terengganu selama mana yang anda mahukan dan saya syorkan
anda pergi menyusuri Sungai Nerus hingga ke Jeram.
Banyak juga aktiviti menarik di sepanjang laluan tersebut.
Nanti saya akan postkan satu cerita khusus
pasal menyusuri sungai di episod akan datang.


Pihak MBKT perlu selalu memantau supaya perbuatan seperti ini
dapat dicegah. Sebaiknya diletakkan beberapa orang penguatkuasa bagi
menjaga disiplin masyarakat dari membuang sampah seperti ini kerana ia
menjejaskan imej Terengganu di mata pelancong. Tetapi sebelum MBKT bertindak
pastikan dahulu tong-tong sampah disediakan secukupnya.
Mungkin juga mereka terpaksa berbuat begini kerana ketiadaan tempat
membuang sampah yang sempurna disediakan.

Saturday, December 18, 2010

Lorat Ganu | Istilah ketika makan pulut

Sudah menjadi satu kemestian di mana-mana tempat pun di seluruh negara
bila tiba cuti persekolahan masing-masing mengadakan kenduri kahwin.
Ini adalah kerana masa itulah paling senang anak beranak, kaum keluarga berkumpul
dan sahabat taulan pun senang untuk datang ke kenduri kahwin berkenaan.
Di Terengganu menghadiri undangan jemputan kahwin ini dikenali
sebagai 'makang puluk' atau sebetulnya makan pulut.
Adakalanya ia juga dipanggil 'makan gulai'.

Dulu semasa saya kecil-kecil saya sering menolak ajakan orang tua
untuk ke kenduri kahwin kerana menyangkakan hanya pulut saja dihidangkan.
Lama kelamaan baru saya sedar rupanya ia hanyalah berupa istilah
yang digunapakai oleh orang-orang tua sejak dahulu lagi. Sekarang istilah tersebut
masih lagi digunakan untuk undangan perkahwinan di sini.


Bila sebut pasal makan ni saya sukalah menambahkan beberapa lagi istilah di sini supaya senang bagi anda memahami jika ianya dipertuturkan di Terengganu. Nantikan anda akan ternganga kerana tidak faham apa yang diucapkan. Antaranya ialah:

1) Bila seseorang ajak anda makan dia akan bertanyakan anda... "Lapar peruk dok agi?" (Lapar perut tak lagi?) Yaalah takkan lapar hidung pulak mestilah lapar perutkan. Di sini pertuturan lebih betul bendul. Serupa juga bila di tanya.. "mengantuk mata dok lagi? atau "Mung dahaga air dok?" hahahaa..
Berbalik kepada soalan "Lapar peruk dok lagi tu"... ada dua jawapan menggambarkan tahap kelaparan anda.

Jika anda jawab "Lapar goookk.." maknanya tahap kelaparan anda masih di tahap sederhana dan mampu bertahan. Jadi kalau ada perkara mustahak maka perkara tersebut di dahulukan kemudian baru mereka mengajak anda makan.

Satu lagi ialah bila anda menjawab.."Bblepeng doh ni!". Ini adalah tahap kritikal dan menunjukkan perut anda kosong dan perlu diisi secepat mungkin. Biasanya yang bertanya akan terkejut dan akan mengajak anda makan serta merta hahahahaa.....

2) Bila anda yang berada pada tahap lapar yang amat sangat tadi meletakkan sendiri nasi atau lauk-pauk dengan berlebihan maka keadaan tadi dipanggil 'Bblanar'. Kehkehkehkeh.. macam-macam istilah ni... Contoh ayat..: "Olloh mung, tahulah mung lapor, sappar bblanar yer bubuh nasik nger lauk!" (Alaaaah kamu ni, tahulah kamu tu lapar, sampai berlebih-lebihan pulak letak nasi dengan lauk!)

3) Bila dah terlampau banyak kadang-kadang nasi dan lauk tak habis pun. Masih ada saki baki dan jelas menunjukkan pembaziran. Saki baki yang berlebihan tadi dipanggil.."Bblewer". Contoh ayat: "Kang aku doh kata..ambik nasik tu sket-sket sudohlaah.. ni gok tengok tu ssappa bblewer. Dok ker bbazir...?" (Kan aku dah cakap. Ambil nasi tu sikit-sikit sudahlah... ni gak tengok tu sampai berlebih-lebihan baki. Tidak ke membazir...?)

Saya berani kata, sekiranya anda bijak menggunakan perkataan tadi ditempat yang betul nanti pasti orang akan ingat anda adalah orang Terengganu. hehehehe.. hingga jumpa lagi...

Friday, December 17, 2010

Kg. Cina | Rumah air dalam kenangan

Ingatkah lagi bagaimana rupa belakang Kg. Cina sebelum ditambak?
Saya kongsikan di sini beberapa keping gambar yang kebetulan berada dalam
simpanan saya untuk tatapan generasi sekarang serta akan datang.

Saya difahamkan rupa-rupanya Kg. Cina ni dalam satu lot kedai dari
depan ke belakang ada juga sesetengahnya terdapat beberapa keluarga yang
berlainan tinggal di situ. Dan ada juga pemiliknya orang Melayu. Kalau sesiapa
mengkaji sejarah sebenarnya Kg. Cina ini banyak juga cerita
yang menarik di sebaliknya.


Saya masih ingat semasa kecil-kecil dahulu di Kg. Cina inilah wujudnya satu kedai
bernama Wee Hong Bian kalau tidak silap saya. Orang Melayu panggil kedai Bian.
Kedai inilah satu-satunya yang menjual pakaian serta bebrapa barangan berjenama
ketika itu. Antaranya ialah jenama 'Arrow'dan juga seluar 'Lee' dan juga 'Levis'.
Huh! di kala itu sesiapa yang pakai baju 'Arrow' bolehlah dikirakan
sebagai orang kelas atasan.

Selain dari itu kedai ini juga menjual pen 'Parker'. Hahaha.. masa tu pen
begini sudah mahal. Ada yang berharga ratusan ringgit. Bayangkan tahun 70-80an
sebatang pen berharga sedemikian rupa. Semasa itu nilai ringgit masih lagi mahal.
Kalau 50 sen macam-macam boleh dibeli. Masa saya bersekolah dahulu 15 sen
boleh dapat mee goreng sepinggan penuh sekali dengan air lagi. Jadi tak heranlah
kalau sesiapa guna pen Parker atau baju Arrow ketika tu bolehlah dianggap
sebagai golongan berada.
Apapun semua itu tinggal kenangan. Kedai Bian tidak wujud lagi sekarang.
Saya pun tidak tahu bila kedai ini hilang dari ingatan kita semua.
Kg. Cina sekarang bakal melalui satu lagi transformasi terutama di sebelah
belakangnya yang mengadap ke Pulau Warisan.
Apakah agaknya transformasi tersebut?
Nanti saya akan ceritakan di coretan yang lain pula...

Thursday, December 16, 2010

Holywood!

Jangan panik dulu... saya tidak bermaksud membawa anda keluar
dari negeri Terengganu ke USA. Di sana ada satu tempat syurga pembikinan filem
yang bernama Hollywood tapi yang saya nak bincangkan di sini ialah 'Holywood'.
Nama seakan-akan serupa tapi ejaan sedikit berbeza dan bendanya pun
ibarat langit dengan bumi hehehehe..

Ia merupakan sejenis makanan kegemaran sejak turun temurun
di negeri Terengganu. Biasanya dijual di warong-warong menjual makanan
termasuklah di pasar-pasar tempat orang menjual kuih-muih.
Kalau cicah dengan air kopi sedap juga. Bahkan kalau cicah
dengan telor separuh masak atau lebih dikenali sebagai
'telor arrong' puuuunnnn sodap kata orang nogori. Ada yang lembut
dan ada juga yang sedikit garing serta sedikit keras. Holywood yang saya
maksudkan itu adalah 'kayu keramat' hahahahahaa...

Sebenarnya ada satu cerita zaman saya belajar dulu pasal nama holywood ni.
Sewaktu makan di sebuah warung di stesen bas lama (sekarang setesen teksi)
kebetulannya ada seorang Mat Salleh yang turut makan di situ.
Dia makan kayu keramat ni dan dia rasa sedap langsung dia dia bertanya pada saya..
'Mmm.. delicious.. what is it?' Begitulah lebih kurang. Jadi saya nak jawab apa?
Kalau saya jawab roti tapi rupanya bukan seperti roti.
Last-last saya jawab...'This is 'Holywood' or kayu keramat in Malay language.
It is a kind of bread' ... begitulah lebih kurang jawapan saya.
Kemudian dia menjawab... "ooo.. sound interesting..."
sambil kita orang sama-sama gelak serentak.

Di negeri-negeri lain saya tak pasti kayu keramat ni dipanggil apa.
Kalau nak kata cha-kui rasanya ada sedikit kelainan. Arrggh.. tak kisahlah
apa pun orang panggil. Pada saya yang paling utama ialah 'janji sedap'.
Jadi kesimpulannya sesiapa yang berkunjung ke Terengganu jangan lupa
mencuba kayu keramat ni. Tapi bila anda bertanya pada penjual
janganlah pulak tanya 'holywood' ada tak?.. nanti terpinga-pinga pulak mereka.
Smular deeehhh...

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...